Penghijrahan merupakan sesuatu yang indah. Tetapi untuk kekal istiqamah, ia bukanlah mudah.

Berbicara menerusi perspektif dunia hiburan, ramai sahaja artis berhijab yang semakin diterima ramai.

Bertudung bukan tanda pengakhiran karier kerana peminat masa kini sudah celik untuk memandang bakat yang dibawa oleh seseorang artis.

Saban hari, semakin ramai artis wanita yang berhijrah ke arah kebaikan, memakai hijab, menjaga pemakaian dan cuba untuk menjaga batas dengan ajnabi dalam dunia hiburan.

Perubahan itu harus dipuji kerana ia membawa satu aura positif kepada semua pihak.

Selebriti berperanan sebagai 'role-model' dan mereka banyak mempengaruhi peminat di luar sana.

Mungkin ada sesetengah pihak menyifatkan perkara ini sebagai sesuatu yang dangkal, tetapi ketahuilah, masih ada antara mereka di luar sana yang terpengaruh dengan selebriti.

Sesungguhnya, hijrah bukan sesuatu yang mudah kerana ia datang dengan pelbagai dugaan.

Terbaru, dunia hiburan dikecohkan dengan beberapa insiden yang melibatkan selebriti wanita bertudung.

BACA: Video Wanita Mirip Fathia Latiff Tak Berhijab Berkaraoke Tular... Biar Betul?

BACA: "Saya Yang Terlalai, Memang Salah Saya" - Gambar 'Panas' Tersebar, Emma Maembong Mohon Maaf

Foto tudung mereka 'terbang' serta tersebarnya gambar berbusana seksi yang bertentangan dengan cara pemakaian wanita muslimah menjadi tatapan umum serta disensasikan di media sosial.

'Tentera bawang' juga kerjanya semakin bertambah. Saat isu timbul, berbondong-bondong kejian yang dilemparkan.

Ia bagaikan satu lumrah untuk netizen masa kini bercakap serta mengutuk sesuatu isu tanpa sebarang had.

Kadangkala, komen yang diberikan melampaui batas dan lebih bersifat menghina serta mahu menjatuhkan.

Saya masih ingat lagi, sekitar tahun 2016, saya bertanyakan komen artis wanita berhijab, Elfira Loy mengenai isu panas yang melanda rakan seangkatannya, Uqasha Senrose.

Ketika itu, Uqasha dilanda kontroversi selepas mengambil keputusan melepaskan hijab setelah tiga tahun memakainya.

Sejujurnya, komen yang diberikan Elfira berbekas di hati saya biarpun sudah hampir tiga tahun berlalu.

Masih segar di ingatan saya apa yang diperkatakan oleh aktres kecil molek itu dan saya sangat bersetuju dengan pendapat yang diberikan olehnya.

“Ujian datang dalam pelbagai bentuk dan ujian adalah untuk semua manusia.

"Mungkin apa yang orang lain lihat adalah Uqasha sedang berhadapan dengan ujian, tetapi sebaliknya, tiada siapa yang tahu.

“Mungkin sebenarnya kita yang sedang diberikan ujian dan Allah mahu melihat sejauh mana reaksi kita terhadap perkara ini.

"Sejauh mana kita mampu untuk menjaga perbuatan serta percakapan daripada tidak berkata buruk dan memberikan respon negatif terhadap perkara ini.

“Bimbingan serta kata-kata nasihat secara positif harus diberikan, bukannya menghentam dan bersikap negatif," kata Elfira.

BACA: "Jangan Hakimi Uqasha Senrose, Lebih Baik Diam" - Elfira Loy

Buat selebriti yang sedang dilanda masalah, teruslah bertabah. Jadikan perkara ini sebagai satu pengajaran, memohon keampunan dengan ikhlas hati dan jangan ulangi kesilapan yang pernah dilakukan.

Untuk netizen diluar sana, sebenarnya, tidak salah untuk anda memberikan sebarang pendapat atau meninggalkan komen.

Semua orang berhak untuk menyatakan komentar masing-masing tetapi biarlah ia berpada-pada dan bersifat membina.

Janganlah mengeji untuk menjatuhkan, kerana mungkin juga perkara yang terjadi ini adalah satu ujian untuk kita... Siapa tahu?

Kita sendiri ada ibu, kakak atau adik perempuan. Bayangkan jika ujian yang sama berlaku kepada saudara perempuan terdekat kita sendiri, bagaimanakah cara kita mahu menghadapinya?

Berpada-padalah. Daripada asyik mengeji, lebih baik kita doakan agar mereka berubah ke arah yang lebih baik.

Kamaruddin Razal adalah penulis bebas untuk artikel di atas. Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.

Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]


Kredit foto: Carian Google