Penerbit filem 'Mahathir, The Journey' sedang mencari usaha untuk menjernihkan keadaan.

Filem yang menampilkan kisah Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018 ini menerima maklum balas dari anak sulung Tun M, Datin Paduka Marina Mahathir.

Menurut Marina, dia dan anggota keluarga lain tidak tahu mengenai kewujudan filem ini.

"Keluarga saya lebih gembira jika tiada sesiapa menghasilkan filem, biografi, muzikal, kartun atau apa saja mengenai kami kerana ia memalukan," tulis Marina dalam satu ciapan di laman sosial Twitter.

Memberikan respon terhadap kenyataan Marina, Penerbit yang juga Ketua Bahagian Kreatif Reliance Media, Yusof Kelana enggan kontroversi terpalit dalam usaha untuk menghasilkan filem ini.

"Kami sedang mencari usaha untuk menjernihkan keadaan dengan Marina kerana kami sendiri tak mahu kontroversi.

"Pada dasarnya, penerbitan filem ini mengikut protokol. Kami berhubung dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengenai filem ini dan skripnya mendapat kebenaran mereka.

"Kami mendapat input dari PMO dan skrip filem ini juga telah diubah sebanyak 12 kali sehingga ia benar-benar mendapat lampu hijau," katanya.

Tambah Yusof, perancangan asal pihak penerbit adalah untuk menghubungi semua tokoh yang dipaparkan dalam naskhah itu selepas majlis pelancaran filem terbabit.

"Itu plan asal kami. Kami mahu menghantar surat rasmi dan mahu mengatur pertemuan dengan semua tokoh yang bakal dipaparkan dalam filem selepas majlis pelancaran 'Mahathir, The Journey'.

"Penggambaran pun belum lagi bermula... Pelakon akan memasuki set penggambaran pada Disember hadapan.

"Kami takut ada salah faham jadi kami akan cuba untuk menjernihkan keadaan dan menghubungi Marina serta semua tokoh yang terlibat dalam filem terbabit," katanya lagi.

'Mahathir, The Journey' yang menelan bajet sebanyak RM6 juta akan menjalani penggambaran di Putrajaya, Kedah, Kelantan dan Hiroshima, Jepun.

BACA: Kajian Selama 7 Bulan Dilakukan Untuk Realisasi Filem 'Mahathir, The Journey'

Barisan pelakon yang bakal memeriahkan filem ini ialah Azhar Amir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah), Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Dian P Ramlee (Datuk Seri Wan Azizah).

Selain itu, Dazrin Kamarudin membawakan watak Syed Saddiq, Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir), Harminder Singh (Gobind Singh Deo) dan ramai lagi.