Kajian selama tujuh bulan dilakukan untuk menterjemahkan kisah perjuangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah filem baru yang berjudul 'Mahathir, The Journey'.

Diterbitkan oleh Reliance Media Group Sdn Bhd dan bakal diarahan Profesor Dr Hatta Azad Khan, karya ini berbeza daripada filem tayangan 2015 yang turut menampilkan Tun M dalam beberapa babak.

Bakal menjalani penggambaran di sekitar Putrajaya, Kedah dan Kelantan, pasukan produksi juga akan turut terbang ke Hiroshima, Jepun dan karya ini turut dijangka akan ditayangkan di Malaysia serta menembusi pasaran antarabangsa.

Menurut penerbit yang juga Ketua Bahagian Kreatif Reliance Media, Yusuf Kelana, filem 'Mahathir, The Journey' menampilkan kisah Tun M selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.

“Naskhah ini merupakan inspirasi dari kisah sebenar. Babak-babak yang akan dipaparkan merupakan kejadian benar, ada pula sebahagian cerita yang akan ditonjolkan menerusi filem ini belum pernah diketahui orang ramai dan apa yang paling penting, skrip filem ini mendapat kelulusan penuh daripada Pejabat Perdana Menteri," katanya.

Menelan belanja sebanyak RM6 juta, filem 'Mahathir, The Journey' bakal menjalani penggambaran bermula pertengahan Disember ini.

Yusof berkata, filem terbabit yang menelan belanja RM6 juta akan memulakan penggambaran pada pertengahan Disember depan.

Proses uji bakat mencari pelakon utama, termasuk watak Tun M dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah sedang diadakan. Naskhah ini juga bakal menampilkan watak-watak penting lain seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datin Paduka Marina Mahathir, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan ramai lagi.

Filem 'Mahathir, The Journey' dijadualkan akan menemui penonton pada Julai tahun hadapan sempena bulan kelahiran Tun M.