Dasar Pandang Ke Timur yang pernah diperkenalkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) suatu ketika dulu kembali menjadi matlamat buat rakyat negara ini untuk maju dan berjaya seperti masyarakat Jepun.

Beliau menegaskan dasar tersebut menekankan aspek mempelajari etika kerja masyarakat Jepun yang sangat berdisiplin termasuk perasaan malu rakyat negara itu apabila gagal melaksanakan tugas yang dijanjikan.

Tun M membangkitkan semula dasar tersebut ketika menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Jepun, semalam.

Kehadiran Tun M ke negara matahari terbit itu adalah sempena lawatan kerja tiga hari termasuk menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei).

Menurut pandangan Tun M seperti dilaporkan Bernama, beliau meihat masyarakat Jepun bekerja keras dalam membina negara selepas perang sehingga menjadi sebuah negara dengan ekonomi terbesar di dunia.

"Saya dapati mengapa rakyat Jepun berjaya membina semula negara mereka, ini disebabkan etika kerja dan sistem nilai mereka.

"Jika ada punya cara bekerja yang salah, jika anda tidak bekerja keras dan anda tidak bangga dengan hasil kerja anda, anda akan gagal," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi