Pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berpandangan filem terbaru, Qhaliq bakal menerima sambutan positif penonton apabila ia ditayangkan di pawagam bermula hari raya pertama nanti.

Menariknya, Ahmad Idham memberitahu filem ini mendapat sokongan komuniti bomba yang bersama mahu menyokong filem ini apabila ditayangkan kelak.

"Komuniti bomba memang dah ‘aware’ dan akan terus memberikan sokongan. Bukan sahaja angota bomba tapi juga komuniti kadet bomba di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, kumpulan sasaran penonton untuk filem ini lebih membantu sambutan terhadap filem ini nanti.

Ahmad Idham yakin filem arahan Rosli Mohd Taib ini mampu menarik perhatian komuniti bomba untuk berhibur dengan filem ini yang membawa kisah kehidupan anggota bomba berkhidmat kepada masyarakat.

Sebelum ini, tayangan filem Qhaliq yang sepatutnya menemui penonton pada 5 April lalu ditangguhkan pihak produser filem itu selepas bersaing dengan filem Dukun yang ditayangkan serentak pada tarikh sama.

Pada masa itu, Ahmad Idham mendakwa filem lakonan utama Hairul Azreen itu turut menjadi mangsa Skim Wajib Tayang apabila hanya mendapat 38 pawagam untuk tayangan.

Dalam pada itu, Ahmad Idham menyatakan tayangan filem tempatan pada Aidilfitri masih memberi peluang terbaik untuk produser meraih sambutan penonton.

Malah, ia bakal mengembalikan fenomena filem tempatan yang pernah mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

"Kita tetap akan usahakan sebab raya pun satu tarikh yang baik sebenarnya," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi