Pelakon Shukri Yahaya mengakui ingin memiliki sekurang-kurangnya sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan.

Namun, hasrat itu terpaksa dipendam memandangkan kadar kesihatan isterinya, Tya Adnan masih menerima rawatan susulan selepas dijangkiti virus leptospirosis atau kencing tikus pada Mac lalu.

"Kalau boleh saya mahu sepasang cahaya mata tetapi beberapa bulan lepas isteri saya jatuh sakit akibat kencing tikus.

"Disebabkan virus itu, Tya memerlukan masa lebih lama untuk kembali pulih.

"Sehingga kini badan dia masih lemah dan sakit-sakit sendiri. Jadi, saya tak mahu bebankan dia dan anak yang bakal lahir nanti," katanya kepada Gempak.

Shukri ditemui pada majlis tayangan eksklusif drama iklan Pelangi Cinta di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Shukri bakal kembali dengan drama fenomena Andainya Takdir 2 pada 13 Jun ini dan sebuah supertelefilem komedi, Selirat pada hari raya pertama.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @shukriyahaya