Pelakon cantik Mira Filzah menjelaskan hubungannya dengan pelawak Zizan Razak masih baik.

Kata Mira, 25, dia selesa berkawan dengan Zizan dan mengakui pengacara itu antara kawan lelaki yang paling rapat dengannya.

"Berkawanlah... Masih berkawan sampai sekarang dan saya selesa dengan dia.

"Tidak ada ciri-ciri spesifik kenapa kami masih berkawan cuma apa yang boleh saya katakan saya senang nak bergaul dengan dia," katanya.

Mira ditemui pada majlis tayangan eksklusif Pelangi Cinta di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Drama itu menggandingkan dia dengan empat aktor popular iaitu Syafiq Kyle, Aiman Hakim Ridza, Hairul Azreen dan Shukri Yahaya.

Dalam perkembangan lain, Mira masih sibuk melunaskan baki penggambaran drama bersiri Rahsia Hati Perempuan dan filem pertamanya, Sangkar bersama Zul Ariffin dan Remy Ishak.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @mfmirafilzah