Penyanyi Black bakal mendapat anak kedua selepas isterinya Naquia Yasirah Mohd. Khairi atau Cira disahkan hamil lima bulan.

Menerusi laporan kepada Utusan Online, Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, berkata, berita itu merupakan khabar gembira buat dia sekeluarga selepas isterinya diuji dengan tiga kali keguguran.

"Jujurnya, kami memang terkejut apabila doktor sahkan kandungan dah masuk dua bulan. Sedangkan, berdasarkan tiga kehamilan sebelum ini, belum sempat kandungan cecah usia dua bulan, dah gugur.

"Berbanding sewaktu mengandungkan Khaleef Dayyan , kali ini Cira alami alahan yang lebih teruk.

"Kalau minum air kosong dan terhidu bau ubat-ubatan, dia akan muntah. Nak tak nak, terpaksalah dia minum air manis atau berperisa.

“Bahkan, sepanjang trimester pertama, Cira juga sukar untuk bangun dan keluar berjalan-jalan kerana mual dan loya. Jadi, dia banyak berehat dengan baring atau tidur," katanya.

Bagaimanapun, setelah lima bulan berlalu, Black bersyukur memandangkan proses kehamilan kali ini tidak memudaratkan kesihatan isteri dan bayi yang dikandung.

“Alhamdulillah, hajat untuk timang cahaya mata kedua bakal direalisasikan pada November ini dan mudah-mudahan semuanya dipermudahkan Alla," katanya.

Black dan Cira mendirikan rumah tangga pada 13 September 2013 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Khaleef Dayyan.

Sumber: Utusan Online