Pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mendesak agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengadakan sidang media dengan segera untuk menjelaskan isu ketirisan dana kerajaan seperti mana dibongkar Astro Gempak.

Menurutnya, penjelasan menerusi sidang media ini sepatutnya dibuat untuk membuktikan FINAS benar telus dalam melaksanakan tugas mereka tanpa melindungi mana-mana pihak.

"Penggiat seni mahu ketelusan FINAS mengadakan sidang media secara terbuka dengan mendedahkan siapa produksi yang mendapat geran dan kemudian hilang begitu saja," katanya kepada Astro Gempak

Ahmad Idham mendakwa, antara isu ketirisan dana yang pernah berlaku adalah ketika Datuk Kamil Othman sebagai ketua pengarah FINAS membabitkan dana sebanyak RM1 juta untuk filem Admiral, filem Sandakan Tears dianggarkan lebih RM400,000 dan pemberian dana pembangunan kemahiran kepada Limkokwing University of Creative Technology mencecah RM800,000.

"Saya bersama rakan pengiat seni lain tidak mahu FINAS hanya menggunakan cara lama dengan memberi kenyataan media terhadap isu ini.

"Sidang media ini penting agar tidak timbul persepsi negatif terhadap Ketua Pengarah FINAS ketika ini jika terbabit sama dalam isu besar ini," katanya.

Tegasnya, FINAS seharusnya bergerak lebih telus untuk mendapat kepercayaan penggiat seni.

"Saya sendiri tidak menafikan isu ketirisan dana ini memang wujud.

"Secara peribadi, saya tidak rasa sesiapa yang berani ke depan membongkarkan isu ini kerana ramai mempunyai agenda peribadi umpama pepatah ‘baling batu, sembunyi tangan’ dan mereka ini cuma cakap kosong," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi