Pelakon Fizo Omar memberitahu dia dinasihatkan untuk menjarakkan usia kelahiran anaknya ekoran masalah yang dihidapi isterinya, Mawar Karim.

Kata Fizo, dia dan Mawar sepatutnya meletakkan jarak usia dua tahun untuk kembali menimang cahaya mata seterusnya.

"Kalau ikutkan esok juga saya nak tambah anak tetapi disebabkan Mawar mengalami banyak kali proses pembedahan termasuk ketika bersalin, doktor menyarankan kami untuk menimang cahaya mata seterusnya selepas dua tahun.

"Lagipun, sekarang kami mahu memberikan lebih tumpuan untuk anak sulung kami Wan Maryam yang baru memasuki usia enam bulan," katanya.

Fizo ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia Kajang di Restoran Fizo Mawar, Bandar Baru Bangi baru-baru ini.

Pasangan itu mengambil masa empat tahun untuk menimang cahaya mata sulung ekoran penyakit endometriosis dan ovarian cyst yang dihidapi Mawar.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali rawatan, pasangan yang telah mendirikan rumah tangga pada 10 November 2013 itu dan dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Mariam pada 29 Disember 2017.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @fizoomar