Selepas kegagalan rumah tangga bersama Penerbit Rancangan Unit Sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kamal Roslim, penyanyi Ramlah Ram akui enggan memikirkan soal kahwin.

Ramlah Ram, 53, berkata dia kini selesa dan gembira dengan kehidupannya.

“Saya tidak berfikir untuk berkahwin lagi.

“Lagipun usia saya sudah agak lanjut untuk berumahtangga kembali.

“Saya selesa dan gembira dengan kehidupan sekarang,” katanya kepada Astro Gempak.

Pelantun lagu Kau Kunci Cintaku itu turut memberitahu seperti tahun-tahun sebelum ini, dia akan bersama ibunya setiap kali menyambut Aidilfitri.

“Saya tiada masalah untuk beraya, kerana saya masih ada ibu.

“Setiap kali Raya saya akan menyambut bersamanya di kampung saya iaitu Muar.

“Kami berdua akan beraya berdua ke rumah saudara mara kami yang terletak di Merlimau, Melaka dan Kluang Johor,” katanya lagi.

Ramlah bercerai pada tahun 2010 setelah hidup bersama suami hampir 10 tahun.