Pelakon Fizo Omar menjelaskan kehilangannya daripada radar dunia seni selama empat tahun demi memberikan ruang membangunkan bisnesnya.

Kata Fizo, dia masih merindui dunia lakonan dan bakal kembali tidak lama lagi.

"Perancangan Allah itu sempurna, saya dan isteri dikurniakan cahaya mata selepas empat tahun berkahwin.

"Selama empat tahun juga saya hilang daripada dunia seni bagi memberikan fokus kepada perniagaan dan pelajaran saya.

"Semuanya telah disusunkan sempurna dan kalau saya fikir-fikir balik Allah tidak memberikan rezeki anak kepada kami pada awal perkahwinan kerana mungkin saya tidak akan dapat meluangkan masa dengannya.

"Selepas perniagaan kami lancar baru dikurniakan anak. Insya-Allah selepas ini baru boleh kembali fokus kepada dunia lakonan," katanya kepada Astro Gempak.

Fizo ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia Kajang di Restoran Fizo Mawar, Bandar Baru Bangi baru-baru ini.

Fizo dan Mawar Karim telah mendirikan rumah tangga pada 10 November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Mariam pada 29 Disember 2017.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @fizoomar