Pengarah dan pelakon Erma Fatima menjelaskan dia tidak berasa ralat untuk menyambut Ramadan dan Syawal tanpa kehadiran suami di sisi.

Kata Erma, selepas bercerai dengan suaminya, Bade Azmi pada Ogos tahun lalu, dia sudah terbiasa hidup bersendirian sambil ditemani anak-anaknya.

"Sama saja macam tahun-tahun lepas, tak ada beza sambut Ramadan tahun ini. Tak rasa apa-apa.

"Saya tak rasa sepi pun sebab Bade sendiri sudah melatih saya untuk berpuasa dengan anak-anak mengikut giliran dengan rumah sana.

"Setiap hari saya kena memasak juadah berbuka puasa untuk anak-anak sebab mereka tinggal dengan saya.

"Anak-anaklah harta paling berharga," katanya kepada Astro Gempak.

Erma ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran aplikasi permainan Mak Cun's Adventures di Subak Restoran, Damansara semalam.

Sepanjang Ramadan, Erma tidak menerima sebarang tawaran berlakon atau pengarahan.

"Ini masa untuk saya meluangkan masa bersama anak-anak saya. Bersahur, berbuka puasa dan bersolat terawih sama-sama," katanya yang akan ke Kedah untuk berbuka puasa bersama anak-anak yatim minggu ini.

Erma dan Bade sah bercerai pada 17 Ogos 2017 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ampang selepas 26 tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu memiliki lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 25, Ahmar Arir, 23, Ahmad Aifin, 21, Citra, 16, dan Nurain, 12.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @ermafatima