Pelakon drama bersiri Tuan Anas Mikael, Datuk Aaron Aziz mengakui tidak mengamalkan pemberian ganjaran dalam bentuk duit raya untuk memberi galakan kepada anak-anaknya untuk berpuasa penuh di bulan Ramadan.

"Saya sering ingatkan anak-anak tentang amalan berpuasa. Puasa merupakan satu perkara yang wajib dilakukan kerana Allah.

"Saya katakan kepada mereka, kalau kita tak boleh buat sesuatu perkara untuk Allah, bagaimana Allah mahu mendengar permintaan kita?

"Alhamdulillah, setakat ini anak-anak memahami apa yang saya ajarkan dan terapkan," kata Aaron.

Namun begitu, Aaron tidak membantah sekiranya ada golongan ibu bapa yang menggunakan ganjaran duit raya sebagai galakan untuk anak mereka berpuasa.

"Bagi saya, cara itu tak salah kerana ia boleh menjadi satu motivasi untuk membakar semangat anak-anak yang sedang berpuasa.

"Setiap orang mempunyai cara tersendiri dan saya yakin anak-anak bakal memahami perkara tersebut satu hari nanti," katanya ketika ditemui di majlis santai Jakel Barulah Raya baru-baru ini.

Aaron meneruskan tugasnya sebagai wajah kempen Jakel Barulah Raya untuk tahun keenam.

Selain Aaron, selebriti lain yang turut menjadi wajah kempen ini ialah Ayda Jebat, Nabil Ahmad, Hanis Zalikha, Hairul Azreen, Yusuf Iskandar, Harith Iskander, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Lara Alana dan Upin Ipin.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @jakeltextile