Chef selebriti, Chef Fikree Aznan menegaskan dia bukan terlalu tamak untuk mengejar kedua-dua bidang masakan dan lakonan.

Kata Fikree, dia sering mendapat motivasi dan kata-kata semangat daripada peminat yang mahukan dia berlakon selain memasak.

"Saya bukan pelakon jadi apabila dipanggil untuk berlakon saya yakin mereka percaya dengan kebolehan yang saya ada.

"Setiap kali diberikan peluang berlakon saya akan melakukannnya sebaik mungkin. Cuma, mungkin saya tidak kuat mental untuk tahan di set penggambaran sampai lewat malam.

"Setakat ini, tiada lagi cemuhan kononnya saya tamak mahu tapau semua. Kebanyakannya merindukan kelibat saya sebagai pelakon," jelasnya kepada Astro Gempak.

Fikree ditemui pada acara My Town Night Ride bersama Mike Bikes di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Fikree baru selesai penggambaran sebuah telefilem berjudul Ramadan & Hamdan yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Telefilem itu menjalani penggambaran sekitar ibu kota dan Taiping, Perak.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @cheffikreeaznan