Pelakon dan pengacara Yana Samsudin tumpang gembira apabila melihat hubungan abang iparnya, pelakon Datuk Farid Kamil dan isteri, aktres Datin Diana Danielle dalam keadaan harmoni.

Sebelum ini, timbul desas desus mengenai status hubungan Farid dan Diana tatkala aktor dihambat kontroversi pada Januari lalu namun perkara terbabit dinafikan oleh Farid.

"Sebagai adik ipar, saya akui gembira melihat hubungan mereka. Saya harap kebahagiaan yang mereka kecapi lebih telus dan kekal hingga hujung nyawa.

"Selain itu, apabila melihat dugaan yang ditempuhi oleh Farid pada awal tahun ini, ia membuatkan saya terfikir. Tempoh perkenalan saya dan Farid sudah lama, sudah pasti saya tidak mempercayai dakwaan tersebut.

"Tetapi saya percaya, mungkin ada hikmah atas segala apa yang terjadi. Sekarang, semuanya baik-baik sahaja. Alhamdulillah," kata Yana.

Pelakon filem Wawa Semput itu berkahwin dengan adik Farid, Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015.

Dalam perkembangan lain, Yana menggunakan bulan Ramadan sebagai bulan untuk beribadah dan mencari rezeki.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bertemu dengan Ramadan sekali lagi. Alhamdulillah, saya mahu mencari peluang untuk beribadah.

"Selain itu, bulan ini juga menjadi bulan untuk saya menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan. Saya bakal turun padang menyertai Mood Republik menjual produk jenama sendiri, Ayana Hijab," katanya ketika ditemui di sidang media Back To Back Raya Galore Festival Mode Republik 2018 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific baru-baru ini.

Yana bakal menyertai festival fesyen dan kecantikan terbesar yang diadakan di Kelantan pada 18 dan 19 Mei, Kedah (1 & 2 Jun), Pahang (2 & 3 Jun) dan lokasi kemuncak di PWTC pada 8 sehingga 10 Jun selama 72 jam tanpa henti.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Yana & Farid