Apresiasi buat warga pendidik datang daripada pelbagai sudut, termasuklah pameran lukisan bertemakan Hari Guru.

Berlangsung meriah malam kelmarin, Galeri Padelli milik pelukis terkenal Md. Fadli Yusoff secara rasmi memulakan operasinya di Plaza Azalea, Shah Alam.

Gempak diundang untuk mengikuti pameran sulung di galeri pertamanya dan ternyata tema Hari Guru yang diangkat sangat unik dan mengagumkan!

Kami kongsikan lima perkara menarik tentang pameran lukisan Hari Guru di Padelli Gallery, Shah Alam.

1) 25 tahun Padelli

Md. Fadly merupakan pelukis kelahiran Kota Bharu, Kelantan dan telah memulakan kerjaya lukisannya sejak 25 tahun lalu.

"Sebelum ini saya hanya mengajar melukis, galeri lukisan ini pengalaman pertama saya menguruskan pameran lukisan yang terdiri daripada pelukis-pelukis hebat tempatan," katanya.

2) Tema Hari Guru

Tema ini dipilih bagi meraikan sumbangan para pendidik dalam bidang seni lukis tempatan.

"Saya memanggil semua guru yang secara langsung dan tidak langsung mendidik saya sepanjang bergelar artis.



"Ini juga satu penghargaan kepada mereka juga dan saya terharu kerana mereka bersetuju untuk berpameran bersama-sama saya," katanya.

Antara pelukis popular lain yang terbabit dalam pameran ini ialah Amron Omar, Awang Damit Ahmad, Jamil Mat Isa, Rafiee Ghani, Suzlee Ibrahim dan Yusof Ghani.

3) Lukisan RM100,000

Lukisan yang dipamerkan turut dijual kepada pengunjung.

Dianggarkan nilai lebih 30 lukisan tersebut dari RM10,000 hingga RM100,000 berdasarkan saiz lukisan itu sendiri.

4) Anjing & Parlimen

Pelbagai tema lukisan dipamerkan dari 7 hingga 27 Mei ini dan kebanyakannya menyentuh isu semasa.

Antara pameran yang menarik minat kami ialah Anjing & Parlimen, Sejalur Disket Di Atas Disket Kuning, 'Perempuan, Tudung & Asap' dan 'Darah Kamu Merah - Aku Pong'.



"Darah Kamu Merah - Aku Pong menyentuh isu sami dan pelarian etnik Rohingya. Ini merupakan respon kepada keadaan semasa dan saya suka untuk menghasilkan karya yang memberikan kesan kepada masyarakat," kata Fadli.

5) Madrasah tahfiz Kota Bharu

Sebahagian hasil jualan lukisan akan disalurkan kepada anak-anak yatim dan sekolah tahfiz di Kota, Bharu, Kelantan.

Teks oleh: Amri Hassan