Juara Akademi Fantasia musim ke-5, Mila Jirin, 31, mendedahkan suaminya tidak mengizinkan dia kembali aktif menyanyi.

Mila yang sudah lama tidak muncul dengan buah tangan terbaru dalam bidang nyanyian kini bergelar ‘usahawan perkahwinan’ mengusahakan bisnes Bizmilla Catering bersama suaminya, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha, 39.

"Pada mulanya, suami tidak mengizinkan saya kembali aktif menyanyi. Dia bimbang saya terbuai hingga mampu menjejaskan perniagaan.

“Saya pula rindu menyanyi selepas lebih tiga tahun tidak masuk studio rakaman. Akhirnya, selepas puas memujuk, suami bersetuju dengan syarat.

"Dia mahu saya menyanyi lagu-lagu Islamik dan mempunyai senikata yang baik, selain setiap sen pendapatan yang diperoleh disumbangkan kepada mereka yang memerlukan dana segera,” katanya.

Mila atau nama sebenarnya, Noorsyarmilla Jirin sudah mampu tersenyum dengan kejayaan beberapa rangkaian perniagaan yang diusahakan seperti restoran, dewan perkahwinan, katering dan busana pengantin sejak berusia 19 tahun.

Mila memiliki rangkaian luas dalam industri perkahwinan termasuk lapan dewan perkahwinan di Subang dan Cheras. Dewan perkahwinan terbaharu akan dibuka di Kajang pada Ogos ini.

Dengan kurniaan kemewahan dan gelaran jutawan, Mila merakamkan beberapa lagu single terbaru, tetapi bukan untik menjana keuntungan.

Setiap sen yang diperoleh menerusi single tersebut disalurkan kepada Unit Salam, Muslim Volunteer Malaysia.

"Unit Salam menyalurkan derma untuk kanak-kanak yang berdepan dengan masalah kesihatan dan memerlukan dana segera.

“Hati saya mudah tersentuh selepas melahirkan cahaya mata, Mohd Arif Zikri. Saya sebak melihat kanak-kanak yang terlantar sakit tetapi kekurangan duit untuk pembedahan atau rawatan segera,” katanya lagi.

Single pertama Adam & Hawa nyanyian Mila yang dicipta sepenuhnya oleh komposer dari Jogjakarta, Indonesia, Sigit Baskara telah dilancarkan pada 13 April lalu.

Lirik lagu ini diterjemahkan menerusi Al-Quran yang menceritakan pertemuan Nabi Adam AS dan isterinya, Hawa selepas 200 tahun terpisah.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Mila Jirin