Bukan mudah untuk kembali langsing terutama bagi wanita yang baru melahirkan anak dan perkara tersebut turut diakui pelakon Lisa Surihani.

Bagaimanapun menurut Lisa dia tidak pernah berputus asa walaupun berat badannya tidak turun selepas tempoh berpantang.

Namun selepas beberapa bulan mengamalkan gaya hidup sihat, ibu kepada Yahaira Leanne ini berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 11 kilogram (kg).

Hasilnya berat badan Lisa kini turun ke 53 kg berbanding 64 kg sebelum ini.

Di bawah merupakan lima cara diamalkan Lisa untuk menurunkan berat badannya:

1. Kawal Hidangan

“Kawal hidang bermaksud kita boleh makan apa yang kita nak makan, tetapi dalam hidangan yang sedikit. Sebagai contoh, dalam satu pinggan itu setengah daripadanya adalah sayur, suku daripadanya karbohidrat, suku lagi protein. Jadi saya masih boleh makan apa yang saya nak dan kita boleh belajar sejauh mana 'hunger level' kita. Kalau masih nak makan makanan yang kita suka tetapi tinggi kalori, ambillah dalam jumlah yang sedikit.


2. Makan buah sebelum makan

“Buah penting untuk di makan dalam makanan harian tetapi tips saya ialah, makanlah buah sebelum anda makan nasi. Budaya kita makan buah selepas makan nasi. Itu sebenarnya tidak betul.

3. Senaman

“Saya akui tidak pernah bersenam sebelum ini. Malah selepas berpantang saya hanya diet dan kawal pemakanan sahaja. Jadi penurunan berat badan saya tidak begitu ketara.

"Jadi saya nekad dan mula bersenam disamping mengamalkan pemakanan sihat. Saya terkejut kerana berat badan turun mendadak. Bila mula bersenam badan rasa 'sedap' dan tak tahu kenapa saya semakin seronok bersenam dan telah menjadikannya rutin.

"Sekarang saya dah tak kisah dengan berat tetapi masih bersenam kerana sudah jatuh cinta dengan aktiviti ini.


4. Air

“Apabila mengamalkan makan dengan jumlah hidangan yang sedikit, saya akui mudah berasa lapar. Tapi saya mendapat satu tips ini, iaitu untuk mengetahui kita benar-benar lapar atau tidak selepas makan, saya akan minum segelas air. Jika selepas minum masih berasa lapar, itu bermakna kita masih perlukan makanan lagi tetapi jika sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada hormone trick wanita sahaja.


5. Supplement

“Saya ambil supplement yang asas dan simple sahaja iaitu multivitamin dan B Complex kerana saya rasa badan kita memang memerlukannya.

Selain itu, Lisa turut berkongsi beberapa tips gaya hidup sihatnya yang lain serta beberapa jenis senaman yang diamalkan di dalam program BHealthy yang disiarkan setiap hari Ahad, jam 7 malam di saluran Astro Bella (133) dan Mustika HD (134).

Dapatkan pelbagai resepi yang enak dan ringkas tetapi menyihatkan dengan muat turun aplikasi Suudu menerusi Google Play dan App Store di telefon pintar anda!

Teks oleh: Syafiqah Jalal