Pelakon dan anggota wanita Running Man, Song Ji Hyo mengambil keputusan untuk melihat sendiri hadiah hari jadinya yang disediakan oleh peminat.

Hadiah tersebut merupakan ucapan istimewa yang dipamerkan di papan iklan sebuah stesen keretapi bawah tanah khas buat aktres tersebut.

Perkara itu membuatkan Ji Hyo teruja dan tidak sabar untuk melihat sendiri papan tanda tersebut.

Song Ji Hyo atau nama sebenarnya Cheon Seong Im kemudiannya menyamar dengan memakai ‘mask’ dan juga topi sebelum tiba ke lokasi berkenaan bersama rakannya untuk mengelakkan dirinya diketahui umum.

Sebaik saja tiba di lokasi tersebut, Ji Hyo yang begitu gembira telah merakamkan beberapa keping foto sebagai tanda kenangan bersama hadiah peminatnya.

Selain itu, Ji Hyo juga turut memuatnaik foto-foto itu menerusi akaun sosial peribadinya, Weibo dan mengucapkan terima kasih kepada peminat.

“Saya ada terdengar mengenai hadiah yang anda (peminat) sediakan untuk saya jadi saya sendiri telah pergi ke lokasi untuk melihat hadiah tersebut.

“Tak sangka rupa-rupanya hadiah itu bukan sekadar khabar angin tetapi benar-benar wujud! Saya rasa sangat gembira dan terima kasih untuk hadiah istimewa tersebut,” tulisnya.

Dalam pada itu, pemintanya juga turut berasa terkejut sebaik saja melihat foto-foto dimuatnaik oleh Ji Hyo yang mempamerkan wajah gembira aktres itu dengan berlatar belakangkan papan tanda tersebut.

Berikut antara komen yang ditulis oleh peminatnya:

“Oh tuhan, tak sangka Ji Hyo benar-benar berada di tempat tersebut, saya rasa tak percaya,”

“Selamat Hari Jadi Ji Hyo, terima kasih kerana kamu sanggup turun ke lokasi papan iklan tersebut walaupun sibuk dengan kerja.

“Ji Hyo benar-benar pandai hargai peminat, tak hairanlah kenapa ramai yang sukakannya,” tulis mereka.

Terdahulu, anggota Running Man kesayangan ramai ini baru saja menyambut hari lahirnya yang ke 35 pada 15 Ogos lalu.

Kredit Foto: Soompi