Kumpulan Ruffedge bakal mengadakan konsert pertama mereka sebagai meraikan ulang tahun 20 tahun perjuangan dalam industri muzik.

Salah seorang anggotanya, Sein menyatakan Ruffedge sebenarnya tidak pernah mengadakan persembahan berskala besar kecuali 'showcase' ketika mereka membuat persembahan sebelum ini.

"Kami sudah merancang konsert ini sejak 2 tahun lalu dan Ruffedge juga tidak pernah umum bubar sejak 10 tahun dulu tapi 'dissolve' begitu saja. Mungkin jika kami buat konsert pada masa itu tak sama dengan sekarang," katanya pada acara sidang media konsert Ruffedge di Kuala Lumpur, hari ini.



Azan Addin pula memberitahu konsert kali ini berbeza dibandingkan persembahan mereka sebelum ini yang lebih terikat pada kehendak syarikat rakaman.

"Dulu kami tak boleh nyanyi semua lagu tapi kali ini kami akan sampaikan lebih banyak lagu," katanya.

Konsert 'Ruffedge: 20th Anniversary Concert' akan diadakan di KL Live, Kuala Lumpur pada 4 Ogos nanti jam 9 malam.

Dalam pada itu, Ruffedge menyatakan kemungkinan seorang lagi anggota mereka, Amer Munawer yang kini berada di Oman akan bersama pada persembahan malam itu nanti. Mereka juga muncul dengan single terbaru, Seperti Mereka ciptaan Azan.

Zain pula berkata, Ruffedge belum matang untuk mengadakan konsert sebelum ini.

"Kami kumpul semua pengalaman selama ini untuk buat sebuah konsert kali ini. Selepas 20 tahun baru kami rasa layak untuk buat konsert," katanya.

Cat juga mengakui Ruffedge tiada masalah untuk menghiburkan peminat yang meminati mereka sejak dari zaman kegemilangan sehingga sudah berkeluarga dan berusia.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak & IG @era.je