Penyanyi dangdut terkenal Malaysia, Mas Idayu memuji persembahan ditonjolkan oleh Reshma yang menyampaikan lagu dangdut Goyang Inul di konsert pengenalan AF2016 Ahad lalu.

Guru persembahan vokal AF2016 itu juga turut memuji usaha Reshma ‘membuang’ cara nyanyian R&B yang dimilikinya dalam lagu dangdut nyanyian asal Inul Daratista itu.

“Pada awalnya, Reshma menyanyikan lagu dangdut itu seperti lagu R&B. Saya sangat bangga dengan Reshma kerana akhirnya dia menyanyikan lagu dengan begitu baik sekali di malam konsert.

“Reshma seorang fast-learner. Selepas diajar, dia menghilangkan R&B dalam nyanyian lagu tersebut dan melembutkan persembahan di atas pentas.

“Saya menekankan karakter dalam lagu kerana irama dangdut sangat mementingkan karakter dan ‘flow’ lagu dangdut itu sendiri harus dijaga dengan baik. Reshma menyanyi cara tersendiri dan mengikuti apa yang diajar oleh guru-guru di Akademi,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengakui yang pelajar-pelajar AF2016 sudah mula menunjukkan taring mereka di konsert pertama, Mas Idayu berharap agar anak didiknya dapat melakukan yang terbaik pada minggu hadapan.

“Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati di konsert pertama walaupun ada dua orang pelajar yang agar tergelincir ketika melakukan persembahan.

“Saya memahami perkara itu kerana saya tahu mereka tidak sihat dan rasa sedikit gugup. Saya berharap agar mereka menunjukkan potensi sebenar mereka di konsert seterusnya,” katanya lagi.

Saksikan Konsert AF 2016 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

Manakala rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi pula boleh ditonton menerusi Diari AF 2016 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 15 Ogos di saluran sama.

Untuk mengikuti perkembangan pelajar, layari Akademi Fantasia.