Pelakon kelahiran Singapura Atikah Suhaime mendedahkan tiada momen romantis atau majlis khas dilakukan tunangnya, Awi Rafael ketika melamarnya.

Keputusan untuk berkahwin muncul ketika kedua-dua mereka sedang melepak di sebuah restoran 24 jam sekitar hujung tahun lalu.

"Mula-mulanya kami seperti sedang bercanda. Kami bercerita tentang jodoh dan tiba-tiba dia tanya saya, sudikah jadi isterinya?

"Saya kemudian tiba-tiba terdiam dan menangis terharu.

"Selama ini, dia yang selalu ada dan memberikan motivasi kepada saya, tetapi saya sendiri tidak sedar.

"Selepas itu, pada Januari dia datang berjumpa keluarga saya dan berbincang perkara ini, akhirnya kami bertunang pada Mac lalu," kata Atikah kepada Astro Gempak.

Tambahnya, Awi antara individu paling rapat dengan keluarganya sejak mereka mula berkenalan namun hubungan itu sekadar melewati fasa 'abang dan adik angkat' semata-mata.

"Ibu saya selalu mengusik saya, katanya Awi lelaki yang sesuai tetapi saya fikir mana mungkin untuk saya berkahwin dengan lelaki yang saya anggap seperti abang.

"Tetapi inilah takdir. Kita selalu terlepas pandang individu yang memang selalu ada depan mata kita itulah sebenarnya jodoh kita," tambah Atikah ketika ditemui selepas konsert GGV2 baru-baru ini.

Awi dan Atikah telah mengumumkan majlis pertunangan mereka pada 17 Mac lalu di Singapura menerusi entri sepotong video di Instagram.

Pasangan itu dilaporkan telah mengenali satu sama lain sejak tujuh tahun lalu namun mulai rapat sejak enam bulan lalu.

Atikah saban minggu tidak putus-putus memberikan sokongan untuk tunangnya yang masih berentap dalam rancangan realiti islamik, Gema Gegar Vaganza (GGV2).

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu kelima GGV2 bakal membawa tema Bergabung Bergema dan 8 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2, mahu melihat kembali video-video persembahan GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV2, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @therealatikahsuhaime