Penyanyi Farah Asyikin meluahkan hasrat untuk berkolaborasi dengan penyanyi antarabangsa Maher Zain.

Hasrat itu disuarakan Farah selepas pertama kali menyanyikan lagu hit Insha-Allah untuk konsert keempat Gema Gegar Vaganza (GGV2) minggu lalu.

"Kredibilitinya tak perlu dipertikaikan lagi. Tengok sahaja lagu-lagunya yang sangat berinspirasi dan hebat.

"Kalau ada rezeki saya ingin bekerjasama dengannya. Tapi ini sekadar impian, nak hubungi dia pun saya tak tahu," kata Farah.

Selain itu, Farah turut berhajat untuk merakamkan sebuah album berbahasa Inggeris khusus buat peminatnya.

"Saya ingin mempunyai sebuah album berbahasa Inggeris sendiri sebab bagi saya dakwah tidak perlu hanya dalam bahasa Melayu. Ia universal!

"Dalam album itu saya mahukan lagu-lagu berunsur ketuhanan dan menyampaikan mesej-mesej positif," tambahnya.

Impian Farah untuk melangkah ke peringkat akhir GGV2 berkecai apabila dia diumumkan sebagai peserta ketiga tersingkir pada konsert keempat minggu lalu.

Farah yang menyanyikan lagu Insha-Allah (Maher Zain) gagal menambat hati juri untuk kekal berada dalam liga GGV2 tahun ini.

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu kelima GGV2 bakal membawa tema Bergabung Bergema dan 8 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2, mahu melihat kembali video-video persembahan GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV2, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan