Penyanyi lagu Bunga Bunga Cinta, Misha Omar selamat melahirkan putera sulung seberat 2.05 kilogram secara normal di Hospital Canselor Tunku Muhriz, Cheras jam 10.20 malam tadi.

Anak hasil perkahwinan Misha dengan seorang juruterbang, Firros Ezzwan Rosly dilahirkan tiga minggu awal daripada tarikh jangkaan.

Misha mengalami pendarahan selepas selesai penggambaran muzik video lagu duet terbaharunya bersama Adibah Noor, Jiwa Sentuh Jiwa di Morib, Banting.

Misha berhadapan dengan tanda-tanda awal bersalin sekitar jam 8.00 malam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Apabila kontraksi yang dialaminya semakin kerap, Misha ditemani pengurus yang juga kakaknya, Mimie Omar bergegas ke hospital kira-kira jam 10.00 malam untuk melakukan pemeriksaan.

"Saya bagaikan tidak percaya apabila doktor memberitahu sudah tiba masa untuk melahirkan, sedangkan sebelum ini saya dijangka menimang cahaya mata pada pertengahan bulan depan.

"Alhamdulillah dalam suasana panik itu, semua urusan dipermudahkan dan saya selamat melahirkan cahaya mata sulung pada jam 10.20 malam.

"Saya bersyukur kerana kebetulan suami saya pulang bercuti dan bergegas ke hospital untuk bersama saya ketika menempuh detik menguji itu," kata Misha kepada BH Online.

Misha berkata, disebabkan melahirkan bayi pra-matang, dia memohon diberikan sedikit ruang untuk menumpukan perhatian kepada anak yang masih di bawah pengawasan doktor.

"Ketika ini, saya dan bayi yang masih belum diberi nama itu berada dalam keadaan sihat. Alhamdulillah, tiada apa yang membimbangkan cuma saya sedang menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baru ini," katanya lagi.

Misha mendirikan rumah tangga dengan suaminya pada 2 Mei 2014 di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum ini, pasangan itu memiliki dua orang anak angkat iaitu Muhammad Adam Emir, 10, dan Humaira Lateefa, 4.

Sumber: BH Online