Pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha sering membawakan karakter gadis yang berpewatakan lemah lembut dalam lakonannya.

Menerusi drama bersiri online terbaru Hannah, 3 Gadis Manis musim kedua, gadis ini memberikan kelainan dalam menjayakan watak Jo.

“Saya gembira memegang watak Jo kerana ia dapat menunjukkan sisi berbeza saya dalam lakonan. Saya akui, saya sering membawa watak gadis lemah lembut tetapi Jo memberikan sesuatu yang baru untuk mewarnai profil lakonan saya.

“Jo merupakan seorang yang agak tegas dan berhadapan dengan cabaran tersendiri. Bekerja dalam industri yang dimonopoli oleh kaum lelaki, Jo sering dibuli tetapi dia mempunyai cara untuk mengatasinya,” kata Hannah kepada Astro Gempak.

Gembira dapat terlibat dalam 3 Gadis Manis musim kedua, Hannah mengakui drama bersiri online ini merupakan projek yang paling mudah untuk dijayakan.

“Saya gembira kerana terpilih untuk menyertai projek ini kerana semuanya dipermudahkan. Bermula dari sesi penggambaran, semuanya berjalan lancar sehingga kini.

“Saya juga gembira kerana dapat bekerja dengan pengarah, pelakon dan semua tenaga produksi 3 Gadis Manis musim kedua kerana mereka sangat dedikasi dalam menyudahkan projek ini,” katanya lagi.

3 Gadis Manis musim kedua merupakan karya digital kompak terbitan portal Gempak menerusi segmen Gempak Original Series dan menampilkan bintang-bintang lain seperti Yaya Zahir, Dee Alhadi, Aedy Ashraf dan Fahad Iman.

Diarahkan oleh Junad M.Nor dan dibantu oleh Nadirah Zakariya, 3 Gadis Manis musim kedua yang diharumkan oleh NIVEA bersiaran sebanyak tujuh episod menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 April ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Hannah