Penyanyi Noryn Aziz enggan mengulas isu penceraiannya dengan suami, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Terdahulu, Noryn dan suami dikatakan telah hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada 1 April lalu untuk menghadiri sesi majlis sulh pertama.

“Seperti yang dilaporkan, semuanya benar belaka. Namun begitu, saya enggan mengulas lanjut mengenai isu ini. Buat masa ini saya tak boleh cerita, minta maaf sangat.

“Saya perlu masa dan ruang sendiri. Saya tak boleh komen sangat mengenai perkara ini. Saya harap semua faham,” kata Noryn yang sebak dan mengalirkan air mata.

Buat masa ini, Noryn yang popular menerusi lagu Fantasi O Realiti ini meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi seperti biasa.

“Buat masa ini, apa yang saya lakukan sekarang adalah untuk memberi fokus kepada kerjaya. Saya tak mahu membesarkan perkara ini.

“Ini bahagian peribadi saya dan tak semua perkara saya boleh kongsi. Saya mahu fokus kerja dan saya memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu peribadi. Saya mohon maaf,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Sherry Scarves di Mercu Mustapha Kamal, Damansara Persana sebentar tadi.

Menerusi laporan media sebelum ini, suami Noryn mengesahkan permohonan penceraian mereka difailkan sejak tahun lalu, namun dia enggan berkongsi tarikh tepat.

Difahamkan, proses sulh Noryn dan suami akan berlangsung sekali lagi di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abd Aziz dan suami bernikah pada 22 Januari 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Raja Bariq Umar Shah, 4.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: HLive