Selebriti popular, Mawi mengakui dia cukup fokus pada setiap adegan dalam filem pertamanya agar ia memberi mesej mendalam pada penonton.

Jelasnya, plot filem yang masih belum ada tajuk ini mengisahkan 3 'kutu' kampung berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi artis rock sehingga mengalami kejutan budaya dan terperangkap dalam dunia sama ada mahu teruskan atau berpatah balik.

"Mereka nak jadi artis rock tapi jadi artis nasyid. Isunya, mereka masuk dalam dunia alim ulamak yang dianggap suci dan mereka melalui dunia hiburan yang selama ini dianggap indah.

"Selepas popular apabila mereka balik kampung, orang kampung pula menyanjungi mereka," katanya kepada Astro Gempak.



Merujuk pada babak tersebut, timbul persoalan apakah Mawi cuba sampaikan mesej peminat bersikap terlalu taksub pada artis?

"Memang saya tunjuk babak manusia taksub sesama manusia tetapi ia tidak sepatutnya berlaku. Peminat boleh suka pada artis tapi biarlah berpada.

"Peminat juga adakalanya tidak sedar dengan perilaku mereka. Begitu juga, tiga watak utama ini berasa pelik kenapa orang kampung mengangkat mereka ke satu tahap yang tinggi," katanya.

Meskipun tiga pelakon utamanya mungkin dianggap bukan standard panggung untuk penonton pergi menonton, penyampai radio Zayan ini menyatakan dia mahu menjual cerita yang tarik perhatian penonton.

"Along sudah banyak berlakon filem dan membuat 'come back' manakala Hazama ada berlakon filem dan kelihatan 'natural' ketika berlakon.

"Begitu juga Joey nampak lebih sebagai pelawak dia seorang pelakon yang versatil dan boleh berlakon watak serius dengan bagus.

"Dia pernah berlakon sebagai penyamun bukan kelakar dalam drama pertama arahan saya sebelum ini, Pak Nil Ibu Kirim Salam.

"Saya suka komedi dalam filem ini nampak bersahaja macam cerita filem Tan Sri P Ramlee sehingga penonton boleh gelak lagi dan lagi," katanya yang menjadikan filem P Ramlee dan Syamsul Yusof sebagai rujukan.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Mawi