Pelakon popular, Maya Karin yakin dengan kemampuan diri untuk kembali menyanyi dan paling penting hadir dengan album penuh tidak lama lagi.

Akuinya, dia kini sudah merakam beberapa lagu yang akan dimuatkan dalam album terbarunya selepas kali terakhir menerusi album Teka Teki pada tahun 2013.

Album kali ini masih bersama Warner Music Malaysia, Maya turut mengambil peluang bekerjasama dengan komposer hebat seperti Audi Mok, Aizat dan Awi Rafael.

"Buat masa ini saya dah rakam 1 lagu dengan Audi, Awi Rafael dan Aizat. Saya tidak tahu bagaimana lagu ini nanti diterima tapi insha Allah, kita tengok nanti," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, lagu My One True Love bersama Awi manakala Audi menerusi lagu Gateway dan lagu ciptaan Aizat masih belum ada judul.

Maya memberitahu, dia seronok bekerjasama dengan tiga komposer hebat tersebut dan yakin untuk album ini boleh dijual di pasaran kelak yang dijangka pada penghujung tahun ini.

Mungkin tidak ramai yang tahu, Maya sebenarnya masih aktif menyanyi menerusi jemputan acara tertutup dan juga belajar vokal dengan Cikgu Shafi.

"Ada masa saya lebih senang menyanyi dalam kereta lagipun orang tak nampak," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak