Selebriti, Anas Tahir berkongsi kisah sedih pengalaman hidupnya melakukan pelbagai kerja sebelum bergelar seorang penyampai radio.

Di sebalik kepetahan suaranya di radio, Anas memberitahu karier seninya tidaklah seindah seperti disangka pada peringkat awal.

Adik penyanyi popular, Faizal ini pernah bekerja menjual roti di tepi jalan selain menjual lampin di atas motosikal dan mengambil upah menggantung banner di tiang lampu.

"Alhamdulillah, walaupun saya melakukan kerja-kerja tersebut, saya masih waras untuk melakukan pekerjaan yang halal.

"Ia memang mencabar buat saya selepas pulang dari pengajian di luar negara sehingga saya pernah menangis 3 hari dan pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semata-mata nak tengok kapal terbang tapi masa tu jerebu," katanya kepada Astro Gempak.

Mungkin ada tidak mengenali Anas, dia pernah menganggotai kumpulan nasyid Far East di awal pembabitan dalam bidang seni sebelum mengambil keputusan melanjutkan pengajian ke United Kingdom.

Anas yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Swansea kemudian menyertai kumpulan nasyid, Firdaus sekembali dari luar negara.

Tidak mahu dibayangi abangnya, Anas bersyukur apabila kerjaya seninya semakin stabil selepas menjadi penyampai radio Zayan sejak 6 bulan lalu.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak