Selepas hampir 20 tahun tidak mengadakan persembahan di Johor Bahru, kumpulan Slam kembali mengadakan konsert di sana.

Bakal mengadakan Konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin pada 3 September ini Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru, Slam berjanji untuk memberikan persembahan terbaik.

"Sudah lama kami tidak mengadakan persembahan di Johor Bahru. Untuk konsert tersebut, kami mahu merapatkan hubungan Slam bersama peminat dari Selatan.

"Persiapan telah dilakukan sebaik mungkin dan kami mengharap sokongan orang Johor Bahru. Selain persembahan, terdapat juga cabutan bertuah untuk pengunjung konsert. Kami sudah tidak sabar untuk menggegarkan Johor Bahru," kata Ajak mewakili kumpulan Slam.

Bakal membawakan 24 buah lagu, Slam menjanjikan kelainan untuk konsert ini.

"Kali terakhir kami mengadakan konsert adalah bulan Mei lalu di Kuala Lumpur. Berbeza dengan konsert yang lepas, konsert di Johor Bahru ini akan menampilkan sesuatu yang berbeza.

"Kami akan menyampaikan lagu yang tidak disampaikan pada konsert sebelum ini iaitu lagu Rindiani dan Bukan Niatku Membalas Derita," kata Zamani selaku vokalis kumpulan Slam.

Dapatkan tiket konsert anjuran DMS dengan kerjasama Hail Ladies yang dijual dengan harga RM73 sehingga RM353 dengan melayari laman web www.ilassotickets.com.

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini dan informasi mengenai kumpulan Slam, layari laman Facebook www.facebook.com/slamkembaliterjalin.