Bintang pop Mariah Carey mendedahkan dirinya menderita gangguan bipolar sejak 2001 dan telah mula mengambil ubat-ubatan.

Mariah memberitahu majalah hiburan People, dia didiagnos di sebuah hospital berikutan mengalami kemurungan emosi dan fizikal.

"Saya hidup dalam penafian dan memencilkan diri. Saya juga kerap berasa takut jika seseorang mendedahkan sesuatu tentang diri saya.

"Ia suatu beban yang sangat berat untuk ditanggung dan saya tidak mampu melakukannya lagi.

"Saya mencari dan menerima rawatan. Saya dekati mereka yang positif di sekeliling saya dan saya kembali melakukan perkara yang saya cintai iaitu menulis dan menghasilkan lagu,” ujar Mariah.

Kata penyanyi lagu My All itu, dia mengambil ubat-ubatan bagi gangguan jenis bipolar II (mengalami perubahan mood yang kurang serius antara kemurungan dan hiperaktif).

"Dalam tempoh yang lama, saya sangkakan saya mengalami gangguan tidur yang teruk.

"Ketika itu saya hanya bekerja, bekerja dan bekerja. Saya mudah tersinggung dan sering ketakutan. Rupa-rupanya saya mengalami sejenis mania,” ujarnya.

Mariah mendedahkan perkara itu kepada umum selepas sekian lama mengalami pelbagai dugaan dalam hidupnya.

Hal itu termasuk kes perceraian dengan pengacara dan pelawak Nick Cannon, selain skandal pertunangan profil tinggi pada 2016 dengan usahawan bilionair Australia, James Packer.

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: BBC