Pelakon muda, Fahad Iman mengakui dirinya tidak terkesan dengan peluang lakonan yang sering menawarkan watak sebagai pelakon pembantu.

Mempunyai keinginan untuk menyandang watak utama, Fahad mahu peluang itu datang dengan sendiri.

"Alhamdulillah, semenjak melibatkan diri dalam bidang lakonan bermula tiga tahun lalu, tawaran tidak pernah putus. Ada sahaja rezeki untuk saya bertahan dalam bidang yang saya cintai ini.

"Saya akui sering diberikan watak pembantu. Namun begitu, saya sendiri tak kisah kerana setiap watak merupakan proses pembelajaran untuk saya berkembang sebagai seorang pelakon.

"Saya teringin bawa watak hero tetapi biarlah perkara itu muncul dengan sendiri. Saya percaya dengan ketentuan rezeki," kata Fahad.

Tambah pelakon drama bersiri Isteri vs Tunang ini, dia juga tak mahu terkejar-kejar kerana percaya dengan aturan Allah dalam menentukan hala tuju kerjayanya.

"Saya tak mahu terburu-buru. Apa yang penting, saya harus mengutip pengalaman sebanyak yang boleh dalam bidang ini kerana minat yang sangat mendalam.

"Saya percaya dengan takdir dan apa yang saya lakukan adalah untuk meningkatkan usaha untuk membalas jasa peminat yang selama ini tak henti menyokong," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Fahad kini muncul dengan drama bersiri online terbaru, 3 Gadis Manis musim kedua.

Musim terbaru 3 Gadis Manis merupakan karya digital kompak terbitan portal Gempak menerusi segmen Gempak Original Series dan menampilkan bintang-bintang lain seperti Hannah Delisha, Yaya Zahir, Dee Alhadi dan Aedy Ashraf.

Diarahkan oleh Junad M. Nor dan dibantu oleh Nadirah Zakariya, 3 Gadis Manis musim kedua yang diharumkan oleh NIVEA akan bersiaran sebanyak tujuh episod menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 April.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Fahad