Baru sahaja ditayangkan secara rasmi semalam, filem Dukun terbitan Astro Shaw berjaya meraih kutipan hampir RM1.5 juta.

Menurut Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, kutipan ini adalah hasil dari 120 pawagam.

“Kami dengan rasa berbesar hati mengumumkan filem Dukun membuka tayangan di pawagam pada hari pertama tayangan dengan membuat kutipan menghampiri RM1.5 juta dan kutipan ini adalah hasil dari 120 pawagam.

“Pihak Astro Shaw juga menerima berita baik dari pihak pempamer, ada penambahan pawagam dengan menjadi keseluruhan sebanyak 133 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei.

“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada penonton yang menonton filem ini di pawagam. Semoga filem ini menunjukkan hasil positif dan kepada mereka yang masih belum berkesempatan, segera ke pawagam berdekatan untuk menonton Dukun,” kata Najwa.

Filem arahan Dain Said yang menampilkan Datin Seri Umie Aida sebagai tunjang utama ini turut dibintangi oleh pelakon hebat lain seperti Faizal Hussien, Namron, Bront Palarae, Elyana, Soffi Jikan dan Hasnul Rahmat.

Buat semua peminat filem tempatan yang ingin tahu kesudahannya, jangan lupa saksikan keseluruhan filem Dukun di pawagam sekarang dalam versi siaran yang lebih baik serta sistem bunyi yang berkualiti!

Teks oleh: Kamaruddin Razal