Adik kepada pelakon sensasi Datuk Farid Kamil, Fadzil Zahari nafi berselisih faham antara satu sama lain sejak Februari lalu.

Kata Fadzil, 34, dia mengakui ketidak hadirannya pada sidang media tergempar penjelasan isu Farid baru-baru ini menguatkan spekulasi hubungan mereka bermasalah.

"Mungkin ketiadaan saya ketika sidang media baru-baru ini mencetuskan ura-ura kami adik- beradik bergaduh.

"Sebenarnya saya ada urusan lain pada hari kejadian jadi tidak sempat untuk hadir sama memberikan sokongan kepada abang saya.

"Kami masih rapat dan saya masih hadir ke semua sesi prosiding mahkamah abang saya. Tiada masalah antara kami berdua," jelasnya kepada Astro Gempak.

Malah jelas Fadzil, kedua-dua ibu bapa mereka kini berada di Kuala Lumpur untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

"Apabila kecoh pada hari Farid ditahan saya meminta ibu bapa kami tidak tergopoh-gapah datang ke Kuala Lumpur kerana bimbang keselamatan memandu dalam keadaan tertekan.

"Selepas keadaan kembali reda barulah mereka datang ke sini dan tinggal bersama saya untuk memberikan sokongan moral kepada kami sekeluarga," katanya.

Mengimbas semula pada 16 Januari lalu, suami kepada pelakon Datin Diana Danielle itu didakwa atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Kota Damansara pada 11 Januari.

Beliau juga turut dituduh di mahkamah sama atas penggunaan dadah jenis THC iaitu '11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid, yang juga dadah terdapat pada ganja.

Fadzil ditemui pada majlis pelancaran pertandingan filem pendek #SmartShorties2018 di SACC Shah Alam, Selangor semalam.

Menerusi pertandingan itu, sebanyak 15 penyertaan terbaik video pendek berdurasi 3 minit akan dipilih untuk merebut hadiah bernilai RM14,000.

Penyertaan awal #SmartShorties2018 telah dibuka sejak 17 Mac hingga 17 April ini.

Teks oleh: Amri Hassan