Video viral #PerempuanKebayaMerah yang menggemparkan negara minggu lalu merupakan salah satu usaha pemasaran yang dilakukan oleh Astro Shaw bersempena tayangan filem Dukun.

Menggunakan teknik pemasaran di luar kotak, video tersebut berjaya menarik minat netizen dan meraih hampir 27 juta tontonan.

"Pihak Astro Shaw memang sengaja menerbitkan serta menggunakan video tersebut sebagai salah sebuah teknik pemasaran. Seperti dijangka, video itu viral di laman sosial dan berjaya menaikkan kembali nama filem Dukun yang telah disimpan selama 12 tahun.

"Ramai yang tidak menyedari video tersebut merupakan salah sebuah usaha kami untuk mempromosikan filem Dukun dan nampaknya usaha tenaga produksi Astro Shaw berhasil apabila video tersebut tular," kata Najwa Abu Bakar selaku Ketua Astro Shaw.

Tambah Najwa, dia juga menafikan dakwaan yang mengatakan filem Dukun pernah diharamkan satu masa dahulu.

"Dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Dukun telah diharamkan adalah tak benar sama sekali. Pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak pernah mengharamkan filem ini.

"LPF sudah memberikan kelulusan terhadap filem Dukun semenjak akhir tahun 2006 lagi. Spekulasi filem Dukun telah diharamkan timbul kerana filem ini sudah lama disimpan, hampir 12 tahun.

"Saya memohon agar peminat dapat menonton dahulu filem ini di pawagam sebelum membuat sebarang penilaian atau spekulasi," katanya lagi.


Filem arahan Dain Said yang menampilkan Datin Seri Umie Aida sebagai tunjang utama ini turut dibintangi oleh pelakon hebat lain seperti Faizal Hussien, Namron, Bront Palarae, Elyana, Soffi Jikan dan Hasnul Rahmat.

Buat semua peminat filem tempatan yang ingin tahu kesudahannya, jangan lupa saksikan keseluruhan filem Dukun di pawagam bermula hari ini (5 April) dalam versi siaran yang lebih baik serta sistem bunyi yang berkualiti!

Teks oleh: Kamaruddin Razal