Filem arahan Syafiq Yusof yang masih ditayangkan sejak sebulan lalu berjaya meraih kutipan terkini sebanyak RM12.1 juta.

Produser, Datuk Yusof Haslam menyatakan rasa syukur terhadap sambutan filem terbitannya itu yang ditayangkan di 120 pawagam.

"Pencapaian filem ini menbuktikan cerita bukan komedi tapi kisah polis yang serius boleh diterima penonton," katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, filem tempatan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton akan terus ditayangkan dan ditambah jumlah pawagam.

"Jumlah pawagam ini bergantung pada permintaan pasaran. Seperti KL Special Force pada mulanya mendapat 80 pawagam sebelum ditambah kepada 120 pawagam," katanya.

Beliau yang juga ahli panel Jawatankuasa Skim Wajib Tayang menjawab isu penentuan jumlah pawagam menerusi skim tersebut yang dibangkitkan Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebelum ini dikatakan tidak bersikap adil.

"Pemamer berbincang dengan kami terdiri daripada wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bersama wakil Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan jawatankuasa Skim Wajib Tayang dan pemamer dalam menentukan jumlah pawagam untuk sesebuah filem.

"Jika kutipan kurang daripada 15 peratus berdasarkan jumlah penonton, filem itu boleh ditarik balik tayangan," katanya.

Ujarnya, situasi ini bukan hanya membabitkan nasib filem tempatan tetapi filem luar negara seperti Hollywood juga ada yang mendapat jumlah tayangan pawagam yang sedikit.

"Permintaan pasaran juga bergantung pada kehendak penonton. Saya bukan mahu menyebelahi pawagam tapi perlu ada tolak ansur antara produser dengan pemamer.

"Sebolehnya, produser jangan bergaduh atau bermusuh dengan pawagam. Kami sendiri di dalam Jawantankuasa Skim Wajib Tayang sentiasa berjuang untuk filem tempatan mendapat lebih banyak jumlah tayangan di pawagam tetapi ini semua ditentukan pemamer dan penonton," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @fiq000s