“Rasa Tak Percaya Dapat Jumpa” – Gang Dong Won Rai 100 Peminat Bertuah

Pelakon Korea Gang Dong Won membuat peminat terharu apabila hadir ke Malaysia selepas 15 tahun berada dalam dunia lakonan.

Dong Won meraikan 100 peminat bertuah menerusi sesi bertemu peminat yang berlangsung di Hotel Hilton, semalam.

Rata-rata peminat terpegun sebaik sahaja melihat pelakon kacak itu melangkah masuk ke dalam bilik yang disediakan dan menyapa mereka sambil tersenyum.

Dalam acara yang berlangsung selama satu jam itu, peminat diberikan peluang untuk bertanya apa sahaja soalan kepada aktor kesayangan mereka.



Bagaimanapun ramai yang tidak menyangka disebalik sisi serius seorang aktor bernama Gang Dong Won rupa-rupanya ada juga bahagian lucunya.

Dong Won juga agak ‘sporting’ apabila ada peminat yang mengajukan soalan siapa idol kegemarannya dan pelakon itu menjawab ‘Girl’s Generation’ sambil menyanyikan sedikit rangkap lagu popular kumpulan tersebut berjudul Gee.

Dalam pada itu, Dong Won juga menyatakan hasrat untuk kembali lagi ke negara ini.

Katanya, kunjungan yang terlalu singkat ini membuatkan dia rasa tidak puas.

Sebaik sahaja selesai sesi tersebut, peminat masih lagi tidak boleh ‘move on’ dan mereka tetap bercerita mengenai pengalaman sepanjang majlis berlangsung.

Kesemuanya memberikan respon positif dan meluahkan rasa tidak percaya dapat bertemu pelakon pujaan hati selepas hampir 15 tahun meminati Dong Won.

Foto: Twitter @gokpop / @mykpophuntress

Teks oleh: Mya Amri