Berita baik buat peminat setia kumpulan Padi kerana mereka akan mengadakan konsert sulung di KL Live, Kuala Lumpur pada 30 Jun depan.

Padi yang terdiri daripada Piyu (gitaris), Fadly (vokalis), Ari (gitaris), Rindra (bass) dan Yoyo (drum) bakal beraksi dalam konsert yang diberi nama Padi Reborn Exclusive Live In KL.

Faktanya, sejak penubuhan kumpulan itu pada 1997, ini merupakan kemunculan sulung Padi dalam konsert berskala besar di Malaysia.

"Kami rasa terharu dan senang sekali kerana buat pertama kalinya dengan memakai nama Padi Reborn, sebuah konsert solo akan dipersembahkan.

"Persembahan ini juga sebagai lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah lelah menyokong kami," kata Piyu.

Padi akan menghiburkan peminat mereka dengan untaian lagu hits antaranya Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah dan Kasih Tak Sampai.

Padi Reborn Exclusive Live In KL dibawakan oleh Qew Communications Sdn. Bhd. dan menariknya kumpulan Pitahati akan membuka pentas konsert tersebut Jun nanti.

Sebagai informasi, Padi mempunyai lima album studio iaitu Lain Dunia (1999), Sesuatu Yang Tertunda (2001), Save My Soul (2003), Padi (2005) dan Tak Hanya Diam (2007).

Tiket-tiket untuk Padi Reborn Exclusive Live In KL sudah mula dijual serendah RM149 (early bird), RM179 (standard), RM249 (meet and greet early bird) dan RM290 (standard meet and greet).

Maklumat lanjut layari www.buytickets.com.my.