Pelakon Hanez Suraya terkejut apabila namanya dipetik bekas kekasihnya, Awi Rafael ketika memberikan kenyataan berhubung kisah pertunangannya dengan Atikah Suhaime.

Kata Hanez, 32, Awi tidak seharusnya memberikan kenyataan sedemikian dan perlu menghormati statusnya sebagai isteri orang.

"Saya tidak tahu menahu tentang kenyataannya sehingga ada wartawan yang menghubungi saya untuk mendapatkan komen.

"Saya terkejut, kenapa nama saya masih diungkit-ungkit sedangkan hubungan kami sudah lama berakhir.

"Sejujurnya saya tidak selesa dengan situasi ini dan mohon hormati saya sebagai isteri orang.

"Saya tidak mahu suami saya terkesan dengan isu sebegini," katanya kepada Astro Gempak.

Hanez ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Leeyanaraya 2018 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, Awi telah mendedahkan rahsia perkenalannya dengan Atikah sejak dia masih bercinta dengan Hanez sekitar lapan tahun lalu.

Pasangan itu mulai serius sejak lima bulan lalu dan memutuskan untuk bertunang sekitar dua minggu lepas dalam satu majlis yang berlangsung di Singapura.

Hanez pula telah mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan, Romie Razin Adilha Abd Rais pada 14 Mac 2015 dan telah dikurniakan seorang cahaya mata, Putri Aleesya, 3 tahun.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @hanezsuraya