Pelakon Didie Alias mengakui ditipu perniaga atas talian sebuah produk kecantikan.

Menurut Didie, perniaga terbabit tidak mengetahui bahawa dia merupakan jurucakap kepada produk itu dan menjual barangan tersebut pada bawah harga pasaran.

"Saya diberitahu bahawa ada pihak yang cuba ‘bermain harga’ dengan menjual produk kosmetik di bawah harga pasaran yang ditetapkan.

"Sebagai jurucakap kepada produk itu saya berlakon menjadi pelanggan kepada perniaga itu dan ternyata harga yang dijual lebih murah daripada harga pasaran.

"Saya tidak sangka sebagai jurucakap kepada produk kosmetik itu saya juga turut ditipu oleh perniaga atas talian yang menjual produk tersebut.

"Akibat perbuatannya itu ia akan memberi masalah kepada pengusaha produk yang lain dan sekarang ini kami sedang mengumpul bukti serta akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak tersebut," katanya kepada Astro Gempak.

Didie berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media tergempar produk DYXY di Flora Terrace, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Sementara itu, Didie berkata, dia turut terpanggil untuk membantu pengeluar kosmetik itu bagi menjelaskan kontroversi berhubung isu viral yang dicetuskan oleh seorang gadis menerusi media sosial baru-baru ini mengenai permasalahan kulit yang dialami selepas menggunakan produk DYXY Cosmetics.

Menurut Didie, dakwaan individu itu adalah satu kenyataan yang mengelirukan kerana dia sendiri tidak mengalami apa-apa masalah setelah menggunakan komestik tersebut sejak lapan bulan lalu.