Buat julung kalinya, kumpulan rock lagenda, May akan bergabung dengan Prime Domestic untuk berkongsi pentas dalam sebuah konsert.

Vokalis kumpulan Prime Domestik, Aweera berkata, pembabitannya secara peribadi dalam konsert Rock Legend 2018 kali ini adalah suatu yang diluar jangkaan.

Meskipun mengakui setiap kali persembahan membawa tekanan pada dirinya, dia tetap berharap peminat muzik rock tidak melepaskan peluang untuk datang pada persembahan ini.

"Kumpulan May adalah idola saya. Rasa segan dengan mereka sebagai penyanyi otai tetap ada tetapi lama-kelamaan mereka memberi nasihat pada saya untuk menyanyi bersama band," katanya kepada Astro Gempak.



Tambahnya, menyanyi bersama band dibandingkan solo lebih memberi kepuasan pada diri sendiri.

Berbeza dengan konsert seumpamanya, kali ini peminat disajikan dengan sistem bunyi 'surround' yang membuat penonton lebih puas hati.

Mus May pula berkata, dia akan membuat persembahan terbaik yang akan menjadi kenangan pada peminat.

Konsert ini akan diadakan di Pintu 2, MAEPS, Serdang, Selangor pada 5 Mei nanti jam 8 malam.

Tiket berharga RM120 (rock zone), RM180 (5.1 surround zone) dan RM68 (G zone) boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com, www.dreamstageconcert.com atau menghubungi talian 03-2170 6333 atau 017-2630437.

Teks oleh: Elrafaei Sapi