Hampir 10,000 orang membanjiri siri jelajah Astro Warna Comedy Tour yang diadakan di Perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Berlangsung pada 3 dan 4 September, Kuantan merupakan destinasi terakhir siri jelajah Astro Warna Comedy Tour.

“Sebelum ini, pihak Astro Warna telah terlebih dahulu singgah di Johor Bahru dan Alor Setar. Sambutan yang diterima sangat positif dengan kehadiran seramai 20,000 orang di kedua-dua lokasi.

“Kuantan pula menjadi persinggahan terakhir Astro Warna dan bilangan pengunjung yang datang sangat memberangsangkan,”kata Emarina Mohd Kamal selaku Pengurus Saluran Astro Warna.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang dua hari Astro Warna Comedy Tour ialah rakaman program Sembang Pacak, pelbagai permainan menarik serta sesi bertemu peminat antara pelawak dan juga orang ramai.

“Kami bawakan pelawak terkenal tanah air serta selebriti terkemuka untuk bertemu dengan peminat di setiap lokasi persinggahan. Astro Warna mahu mendekatkan peminat dengan artis secara amnya dan Astro Warna sendiri secara khasnya.

“Antara artis yang memeriahkan lokasi terakhir ialah kumpulan Joras, Sepahtu, Elfira Loy, Mark Adam dan ramai lagi. Lokasi terakhir juga turut menyaksikan Jajahan Gegar THR Gegar turun memeriahkan acara pada 3 September,” katanya lagi.

Tambah Emarina, melihatkan kepada sambutan baik jelajah Astro Warna Comedy Tour di tiga lokasi sebelum ini, acara ini bakal menjadi acara tahunan untuk Astro Warna mendekatkan diri dengan penonton.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat positif. Ramai memberi cadangan agar siri jelajah ini diadakan lagi tahun hadapan. Insya-Allah, jika semuanya baik-baik sahaja, perkara ini akan menjadi acara tahunan,” katanya lagi.