Penyanyi Anuar Zain mengakui sukar mencari lagu yang benar-benar sesuai untuk dinyanyikan bersama Bunga Citra Lestari dan Yuka Kharisma.

Anuar bakal berkongsi pentas dengan dua wanita itu menerusi acara 'Anuar Zain, Bunga Citra Lestari & Yuka Kharisma Live In Concert' yang akan diadakan pada 28 April hadapan.

"Proses untuk mencari lagu yang sesuai merupakan proses yang sangat sukar. Ini merupakan pengalaman pertama saya berkolaborasi bersama Bunga dan Yuka.

"Di konsert tersebut nanti, selain mempunyai segmen solo sendiri, kami bertiga harus menyanyikan satu atau dua buah lagu secara trio.

"Susah untuk mencari lagu yang sesuai dengan padanan vokal kami bertiga kerana masing-masing mempunyai karakter suara yang berlainan," kata Anuar.

Untuk memudahkan proses pemilihan lagu, Anuar, Bunga dan Yuka masing-masing memberikan cadangan tersendiri.

"Kami bertiga datang dengan idea tersendiri. Masing-masing mencadangkan dua atau tiga lagu. Alhamdulillah, akhirnya kami mencapai kata sepakat dan lagu yang dipilih itu bersesuaian dengan karakter suara kami.

"Buat masa ini, judul lagu tersebut dirahsiakan terlebih dahulu dan kami berharap agar semua penonton dapat menghadirkan diri ke konsert ini dan berhibur bersama kami," katanya ketika sesi fotografi bagi mempromosikan konsert tersebut di E&O Residents, Kuala Lumpur, semalam.

Pihak penganjur dengan berbesar hati mengumumkan harga tiket ‘repackage’ yang sudah boleh didapati di www.tickethotline.com.my mulai 19 Mac 2018.

Anuar Zain, Bunga Citra Lestari & Yuka Kharisma Live In Concert' yang akan diadakan pada 28 April 2018 dan dianjurkan oleh DTA Fashion Art Performance Sdn Bhd.

Tiket-tiket ‘repackage’ berharga RM1599 (VIP), RM1299 (Platinum), RM499 (Diamond), RM399 (Emas) dan RM299(Perak). RM199 (Gangsa) dan RM159 (Biasa).

Pembeli tiket yang membeli sebelum 19 Mac 2018 akan dibayar balik dengan sewajarnya.

Tiket konsert dijual sejak 19 Mac lalu di kaunter Dewan Plenari, KLCC sehingga pada 28 April 2018.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Anuar Zain Network