Anggota kumpulan Hijjaz, Munif Ahmad mengakui keadaan industri muzik tempatan ketika ini yang agak suram, menyebabkan mereka terpaksa menutup studio dan fokus pada komitmen masing-masing.

Jelasnya, kali terakhir Hijjaz menghasilkan album penuh adalah pada tahun 2012 tetapi mereka masih menerima jemputan mengadakan persembahan sehingga kini.

"Sudah terlalu lama Hijjaz tidak mempunyai album penuh. Hanya pada tahun 2012, lagu 'killer song' ada pada zaman itu tetapi selepas itu tiada lagi," katanya kepada Astro Gempak.



Tambahnya, Hijjaz memang mempunyai hasrat menghasilkan single baru selepas populariti mereka kembali ketika menyertai program Gema Gegar Vaganza (GGV) pada tahun lalu.

"Apabila masuk GGV, peminat baru terdiri daripada golongan muda mula kenal Hijjaz. Walaupun kami dah lama tapi mereka baru kenal kami.

"Kami ada perancangan buat 'comeback' tapi ketiadaan studio dan kekangan masa antara anggota Hijjaz menyebabkan hasrat ini tertangguh," katanya selepas majlis pelancaran Kurma Al-Abbasi - Munif Hijjaz di Kuala Lumpur, hari ini.



Sebolehnya, Hijjaz berhasrat tampil dengan single baru pada Ramadan ini tetapi antara mereka masih sibuk dengan komitmen lain seperti Faizal terbabit dalam bisnes buku dan kek, Isman bersama isteri menguruskan butik manakala Ariffin mengajar.

Dalam pada itu, Hijjaz juga menjalinkan kerjasama dengan Al-Abbasi, pemilik ladang kurma di Madinah untuk memasarkan produk mereka, Kurma Alabbasi - Munif Hijjaz.

"Kita perlukan produk yang bagus dan jenama Munif Hijjaz sudah diketahui pengguna sebagai jenama yang mempunyai nama di pasaran khususnya melibatkan produk muslim.

"Hijjaz mempunyai pengalaman mengeluarkan kurma sebelum ini jadi kami tahu cara nak pasarkan kurma yang lebih berkualiti daripada ladang seperti ini," katanya.



Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak & Facebook - Munif Hijjaz Production