Pelakon Izreen Azminda tidak menyalahkan mana-mana pihak selepas foto yang menampakkan dirinya memakai seluar ketat dimuatnaik oleh aktor Azrel Ismail.

“Sebenarnya seluar yang saya pakai itu tidaklah sendat seperti yang mereka nampak, cuma foto itu diambil dari posisi yang salah.

“Kalau kita bergambar, akan ada sudut yang elok dengan tidak. Begitu jugalah yang terjadi pada saya.

“Sebagai contoh kalau kita bergambar dengan rakan, pasti rakan akan muatnaik foto yang menampakkan diri mereka cantik ataupun kacak.

“Samalah dengan situasi saya, foto itu dimuatnaik oleh Azrel kerana dia rasa dalam banyak-banyak gambar yang dirakamkan, foto itu saja yang membuatkan dia nampak menarik.

“Saya tak marah dia pun sebab saya tahu dia sendiri tak sangka benda ini akan jadi isu lagipun ini bukan salah dia, hanya sudut kamera saja yang tidak betul,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program terbaru Astro, Taste Selebriti di Restoran Rebung, Jalan Tangling, petang Selasa.

Akibat daripada insiden berkenaan, Izreen telah menerima kecaman daripada netizen dan dianggap mencalarkan imej wanita bertudung.

Bagaimanapun, Izreen mengambil keputusan untuk tidak memikirkan kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya.

“Insiden ini adalah sesuatu yang tidak disengajakan lagipun benda dah jadi. Foto itu pun ada dalam Instagram dia.

“Saya tak suruh dia padamkan pun, pada saya itu benda itu tak ada isu sebenarnya.

“Saya pun tak adalah nak fikirkan atau tertekan sangat mengenai hal tersebut, sebagai selebriti kita tak akan terlepas daripada komen-komen negatif.

“Sebelum ini pun saya pernah kena kecam juga, bahkan lebih teruk daripada ini. Jadi saya rasa tak perlu nak amik ‘port’ sangat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Izreen akan terlibat dalam program terbaru Astro, Taste Selebriti yang akan ditayangkan bermula 26 September ini di Astro Bella (saluran 133), jam 9.00 malam.