Kumpulan lawak popular, Bocey mengakui mereka masih mempunyai perasaan gemuruh ketika mengadakan persembahan minggu pertama, Bocey & Friends Live malam tadi.

Abam berkata, ini disebabkan ia adalah persembahan pertama mereka beraksi secara langsung dalam program sendiri.

"Memang agak gemuruh sebab membawa Bocey terus dalam persembahan 'live'. Ia mempertaruhkan nama kami.

"Jika 'down' program ini maknanya nama kami juga akan 'down' selepas ini," katanya kepada Astro Gempak.

Pertama kali mengadakan persembahan lawak pentas secara langsung di televisyen, Bocey dianggotai Fad, Achey dan Abam menghiburkan penonton bersama artis jemputan, Tauke Jambu, Ajak Shiro, Nabila Razali dan Datuk Zainal Abidin.

Menerusi tema Kahwin Oh Kahwin, Fad menyatakan persembahan kali ini mengikut 80 peratus seperti apa yang dirancang mereka.

"Kami bersyukur sangat tapi agak kelam kabut sebab persembahan minggu pertama. Namun, apa yang diberikan artis jemputan kali ini memang terbaik dan berjalan lancar," katanya kepada Astro Gempak.



Tambahnya, topik ini agak mencabar kerana ia banyak dilakukan pelawak lain sebaliknya, mereka perlu memberi kelainan dalam jenaka yang ditampilkan.

Bagi Achey, mengakui masih ada bahan jenaka yang tidak dapat disampaikan meskipun penonton beranggapan persembahan mereka tersusun.

"Apabila cabaran mengadakan persembahan 'live' melibatkan artis jemputan termasuk kambing, kami kena jaga pertuturan, tingkah laku apatah lagi topik ini mengupas dekat dengan masyarakat dan kedua, lebih mendalam merujuk pada apa yang berlaku sekarang," katanya.

Pada penonton, jangan lupa saksikan Bocey & Friends Live yang disiarkan pada setiap Jumaat jam 10 malam di Astro Warna and Warna HD.

Persembahan komedi pentas ini dibawakan oleh CIMB.

Teks oleh: Elrafaei Sapi