Bekas madu aktres Izreen Azminda, Intan Liana Saleh terkejut dengan kenyataan yang diberikan oleh bekas suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude yang mendakwa rumah tangga mereka sudah bermasalah semenjak dua tahun lalu.

"Bagaimana timbul cerita hubungan kami bermasalah sejak dua tahun lalu sedangkan anak kedua baru berusia setahun?

"Saya pernah buat pengakuan reda untuk dimadukan selepas terbongkarnya perkahwinannya dengan Izreen. Sekiranya benar dia tidak rasa bahagia dengan saya, adakah selama ini dia sekadar berlakon?

"Saya terkejut apabila faktor tidak bahagia itu dijadikan salah satu punca (perceraian). Terpulanglah kepada mereka di luar untuk menghakimi sendiri situasi ini," kata Intan.

[BACA: “Intan, Hentikan Drama Air Mata!” - Ude Minta Semua Pihak Berhenti Salahkan Izreen Azminda]

Tambah Intan, dia tidak berniat membuka aib sesiapa mengenai komen yang dibuat oleh Ude.

"Saya tidak berniat membuka aib sesiapa. Saya cuma terpanggil membuat kenyataan bagi membetulkan apa yang tidak benar.

"Saya juga terkilan apabila diminta berhenti membuat 'drama' dengan menggunakan air mata," katanya.

[BACA: “Saya Terima Takdir Yang Allah Tentukan” - Intan Sah Bercerai Talak Satu Dengan Ude]

Krisis rumah tangga Ude dan Intan terlerai selepas pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Gombak Timur, Taman Seri Keramat, Selangor pada jam 9.50 pagi semalam.

Ude mendirikan rumah tangga dengan Intan pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Arish Muqri, 3, dan Areq Muqri yang berusia setahun.

Pada November tahun lalu, Intan dilaporkan rela bermadu dan akan mempertahankan rumah tangganya setelah mengetahui suaminya telah bernikah dengan Izreen pada 8 Ogos.

Izreen kemudiannya membuat pengakuan terbuka, dia sah menjadi isteri kedua Ude sejak 8 Ogos 2017 dalam satu perkahwinan tertutup di Damansara.

Izreen pernah berkahwin dengan jurukamera, Muhammad Riza pada 2012 dan bercerai selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka mendapat seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun.

Sumber: BH Online