Penyanyi Nabila Razali mengakui dirinya selesa untuk bekerjasama dengan Hael Husaini untuk mencipta single terbarunya.

“Setakat ini, saya memang sangat berpuas hati dengan lagu ciptaan Hael. Alhamdulillah, lagu Cemburu dan Pematah Hati memang menaikkan nama saya dalam industri hiburan.

“Hael juga tahu kualiti vokal saya serta pandai mencipta lagu yang bersesuaian dengan saya. Untuk single seterusnya, saya memang akan terus bekerjasama dengan Hael dan selesa menyanyikan lagu ciptaannya,” kata Nabila.

Tambah pelakon drama bersiri Hikayat Cinta Si Pematah Hati ini, dia turut menggemari sikap jujur yang ditunjukkan oleh Hael.

“Saya ada mendengar satu lagu demo ciptaannya dan saya akui lagu tersebut sangat sedap. Saya mahukan lagu tersebut tetapi Hael tidak membenarkannya.

“Menurut Hael, karakter vokal saya tidak sesuai dengan lagu tersebut. Dari situ, saya boleh lihat keikhlasan Hael.

“Hael sangat jujur dalam berkarya. Jika dia tamak, dia boleh terus berikan sahaja lagu tersebut kepada saya.

“Dia bukan sekadar mahu menjual lagu kepada penyanyi lain, dia melihat kebolehan penyanyi dan mencorakkan apa yang baik untuk dipersembahkan kepada peminat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Nabila bakal terbang ke Turki untuk menjalani penggambaran drama bersiri Cintaku di Bumi Izmir bersama Hafizul Kamal dan Raysha Rizrose.

Teks oleh: Kamaruddin Razal