Penyanyi muda yang baru mendapat keputusan cemerlang SPM, Wani Kayrie mendedahkan dia menerima ucapan tahniah tak putus-putus termasuk daripada individu yang pernah cuba mendekatinya.

Kata Wani, 18, selain kenalan dan individu berkenaan, ucapan itu turut diterima daripada individu yang disukainya.

"Ya memang benar ada berderet-deret ucapan tahniah saya terima daripada media sosial untuk SPM dan hari jadi namun kebanyakannya daripada kawan-kawan, peminat dan crush saya sendiri.

"Saya juga ada terima ucapan daripada beberapa individu yang pernah cuba mengorat saya. Tapi saya malas nak layan.

"Sebab saya tak suka membuat orang menaruh harapan, kalau nak berkawan layan cara kawan betul-betul.

"Kalau saya melayan nanti mereka (terutamanya lelaki) akan melebih-lebih pula," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari jadinya di Hotel Midah, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wani akui ada beberapa individu cuba mengambil kesempatan untuk berkenalan dengannya lebih rapat kerana tahu statusnya sebagai penyanyi

"Ada juga saya rasa lelaki yang pernah cuba berkenalan dengan saya kerana tahu saya ada nama.

"Tetapi jujurnya saya tidak boleh menerima lelaki yang mendekati saya kerana nak popular atau mengejar nama," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Wani bakal melancarkan album sulungnya yang mengandungi enam lagu termasuk Jangan Jangan dan Aku Suka Kamu.

Julai nanti, Wani bakal menyertai pertandingan nyanyian World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, Amerika Syarikat.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @wanikayrie